Monday, October 8, 2012

HNS2013 KENEGARAAN



TAJUK
TUGASAN 2(1)
Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah worldview masyarakat Melayu dalam pelbagai aspek. Bincangkan






1.      PENGENALAN

            Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu menganuti fahaman animisme. Keadaan ini berubah selepas kedatangan Islam yang membawa konsep tauhid dengan menafikan kewujudan Tuhan yang banyak. Bermula dengan konsep keesaan Tuhan dan ibadat yang luas,  Islam telah berjaya menarik minat masyarkat tempatan. Sejak kedatangan Islam, kehidupan harian masyarakat Melayu dan adat istiadat tertentu yang didapati bertentangan dengan akidah ditinggalkan secara beransur-ansur (Ruslan Zainuddin, 2004; 91-92).
            Kedatangan Islam telah menyebabkan berlaku proses Islamisasi di Alam Melayu dengan kesan-kesannya sebagaimana yang dilihat dalam sejarah. Antaranya, berlaku perubahan akidah Melayu kepada kehidupan kerohanian. Namun, masih ada unsur­unsur budaya Hindu-Buddha dan animisme yang masih diamalkan. Proses Islamisasi dalam masyarakat Melayu  telah merubah pelbagai aspek kehidupan seperti rohani, intelektual dan kemasyarakatan.


1.1              Pengertian Agama
           
            Istilah agama berasal dari bahasa Sansekerita dan bererti warisan tertulis yang yang diturunkan dari generasi ke generasi. Istilah ini digunakan oleh orang Hindu untuk merujuk kepada kitab-kitab Vedik, iaitu kitab suci Hindu. Namun begitu, orang Islam di rantau Asia Tenggara yang berbahasa Melayu tidak memahami agama dalam erti Hindu ini (al-Atas, Farid, 2005:3).

Merujuk kepada Kamus Dewan, "agama bererti:
        i.            Kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya
      ii.            Kepercayaan pada yang Maha Kuasa
    iii.            Kepercayaan pada sesuatu dewa dan lain-lain yang dipuja dan sebagainya dan dianggap sebagai sesuatu yang amat berkuasa.

1.2              Pengertian Islam
            Islam dari segi bahasa merupakan nama terbitan dari kata kerja salima yang boleh membawa maksud:
(i) ketulenan dan kesucian
(u) kedamaian, keamanan atau kesejahteraan
(ui) ketaatan dan penyerahan (Afif Abd al-Fattah Tabbarah, 1969:17).

            Islam berbeza dari agama-agama lain yang ada di muka bumi ini kerana perkataan Islam tidak mempunyai hubungkait sama ada dengan individu-indidu tertentu, golongan atau tempat tertentu. Dari segi pemilihan nama, Islam merupakan nama istimewa yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada Din-Nya. Al-Quran sebagai kalam Allah menyebut Islam sebagai al-lslam dan ia adalah ad- din (Abdullah Akhili, et. al, 1996:2).

           
2.      TEORI KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU
Terdapat tiga teori kedatangan Islam di Tanah Melayu iaitu kedatangan Islam dari India, China dan Arab. Teori-teori ini banyak dikemukakan oleh sejarahwan-sejarahwan seperti Pijnappal, Snouck Hugronje, B. Harisson, Thomas Arnold, Morquette, R.O. Winstedt, S.Q. Fatimi, Syed Muhammad Nuqaib al-Atlas, HAMKA dan sebagainya.

2.1              Kedatangan Islam Dari  Tanah Arab

            Di tanah Melayu terdapat bukti-bukti yang kuat bahawa agama Islam itu dibawa secara langsung dari tanah Arab oleh bangsa Arab. Sebagai contohnya, Maharaja Derbar Raja II, raja Kedah telahpun diislamkan pada tahun 531 H/1136 M, oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Ahmad al-Qaumiri al-Yamani seorang ulama berbangsa Arab yang datang dari Yaman (Abdullah Ishak,  1990:60).

            Selain itu, hubungan perdagangan telahpun terjalin antara Alam Melayu dengan Tanah Arab sejak sebelum kelahiran Islam lagi dan ia berterusan selepas kelahirannya. Penyebaran Isam di Tanah Arab telah meluas dan ini termasuk Yaman yang merupakan perlabuhan perdagangan yang penting. Pedagang-pedagang Islam yang tertumpu di Yaman turut menjalankan aktiviti perdagangan dengan Asia Tenggara.

2.2              Kedatangan Islam Dari India

            S.Q. Fatimi, Morison Harison, RA. Kern dan Snouck Hurgronje pula berpendapat bandar pelabuhan Gujerat di India memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam melalui perdagangan Mereka berpendapat bahawa ramai pemimpin Abbaslyah dan Umaiyah di Andalus melarikan diri daripada tindakan pihak berkuasa, sebagai pelarian politik dan mendapatkan perlindungan di India dan juga di Alam Melayu. Ini adalah berpandukan kepada persamaan mazhab yang dianuti mazhab Syafie. B. Harrison berpendapat khidmat nasihat dan bimbingan dalam hal-hal perniagaan dan kebudayaan. Dan menerusi hubungan dua hala itu, penduduk Nusantara berminat dengan Islam yang telah pun dianuti oeh pedagang-pedagang India (Abdullah Ishak, 1990:61)

2.3               Kedatangan Islam Dari China
            Terdapat juga teori yang turut menyokong kedatangan Islam dari China. Emanuel Godinho De Evedia menyatakan Islam datang ke Nusanara dari China melalui Canton dan Hainan pada kurun ke-9 Masihi. Pada tahun 878 Masihi, pembrontakan telah berlaku di Cnton menyebabkan seramai 100 000 orang asing terbunuh. Akibat daripada perisitwa itu, telah menyebabkan ramai orang Arab-Islam melarikan diri ke kedah dan Palembang. Dalam masa yang sama catatan Dinasti Sung pula menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui sepanjang pantai Laut China Selatan dan dibawa oleh pedagang-pedagang Islam dari China oada awal 977 Masihi (Azhar Hj. Mad Aros, 2000:256)

            Bukti kedatangan Islam dari China dapat dilihat melalui hubungan perdagangan antara orang-orang Arab dengan China yang dikatakan telah berlaku sejak kelahiran agama Islam lagi. Perdagangan antara Arab dan China secara tidak langsung mewujudkan hubungan antara China dengan Kepulauan Melayu.


3.      FAKTOR  PENYEBARAN AGAMA ISLAM KE ALAM MELAYU

3.1              Faktor ajaran Islam
            Kedatangan Islam ke Nusantara terpaksa menghadapi persaingan agama Hindu yang telah bertapak selama 13 abad. Namun, semua aspek ajaran Islam itu mempunyai kelebihannya yang menyebabkan Islam mudah diterima oleh penduduk Nusantara. Salah satu kebaikan Islam ialah mudah difahami, tidak bertentangan dengan akal fikiran, sentiasa rasional dan amat sesuai bagi semua manusia pada segenap zaman dan tempat. Misalnya, dalam aspek sosial, Islam mengajarkan bahawa semua manusia adalah sama taraf dan manusia yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah mereka yang paling bertakwa. Di samping itu, Islam memberikan jaminan dan keadilan sosial, menekankan persaudaraan Islam yang bersifat universal, tolong-menolong, hormat-menghormati, bersatu padu, dan lain-lain.

3.2              Faktor Perdagangan

            Para pedagang memang memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Nusantara. Para pedagang Arab, India, Parsi memang mempunyai kegiatan perdagangan di Nusantara sejak abad ke 8 atau 9 Masihi. Peranan mereka dalam penyebaran Islam ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu usaha mereka sendiri menyampaikan Islam kepada penduduk tempatan dan keduanya ialah melalui kemudahan yang mereka berikan kepada para pendakwah Islam menaiki kapal-kapal mereka untuk bergerak dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain untuk berdakwah. Para pedagang Islam mempunyai peluang yang sebaik-baiknya untuk menyebarkan Islam melalui tiga saluran iaitu hubungan baik mereka dengan para penguasa pelabuhan, raja atau pembesar-pembesar tempatan.
            Pedagang-pedagang Islam dipercayai telah mendirikan koloni-koloni mereka di Perairan Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera untuk menjalankan kegiatan perdagangan. Selain menjadi pedagang, saudagar-saudagar tersebut menjalankan kegiatan dakwah di kawasan-kawasan yang disinggahi. Ada antara mereka yang tidak menjalankan kegiatan dakwah tetapi telah memberikan kemudahan kepada golongan pendakwah menaiki kapal-kapal mereka bagi menyebarkan dakwah dari satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain.
            Perdagangan merupakan antara kaedah penting di dalam memperkembangkan Islam. Ini adalah kerana, hanya dengan bantuan aktiviti perdagangan sahaja yang memungkinkan Islam yang berasal di sebuah wilayah yang jaraknya beribu-ribu batu dari Alam Melayu mampu berkembang. Meskipun jalan darat mempunyai peranan besar dalam melihat kedatangan Islam, namun ia masih kecil berbanding pengaruh yang dapat dimainkan oleh perdagangan serta laluan laut. Perdagangan yang berlangsung antara masyarakat Arab dengan Alam Melayu yang berlaku sejak sebelum Islam turut berkembang semasa zaman Islam. Alam Melayu yang mempunyai sejumlah hasil yang penting dalam perdagangan menjadi tarikan utama kepada pedagang-pedagang Arab ini. Malah dalam menjalankan aktiviti pedagangan, pedgang-pedagang Arab terutamanya dari Hadramaut turut menjalankan aktiviti menyebarkan Islam. Ini kerana Islam itu sendiri merupakan agama yang bersifat dakwah dan penyebaran Islam merupakan tugas setiap penganutnya. Oleh yang demikin, tidak hairanlah jika diperhatikan bahawa kebanyakan tapak awal Islam di Alam Melayu adalah juga merupakan pelabuhan-pelabuhan utama seperti Melaka, Aru, Perlak dan sebagainya.

3.3              Faktor Perkahwinan
            Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar tempatan untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka seterusnya akan diikuti golongan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai. Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam.
            Agama Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara raja sesebuah negara dengan puteri raja dari negara lain. proses ini biasanya dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah ini turut membantu perkembangan Islam ke sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskandar Syah menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua menjadi negeri Islam kemudiannya
           


3.4              Faktor Politik Dan Penaklukan

            Penaklukan juga tidak kurang pentingnya menjadi faktor pendorong tersebarnya Islam di Nusantara ini. Apa yang dimaksudkan ialah penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah negara Islam ke atas daerah lain. Jika daerah yang ditawan itu belum Islam maka dengan penaklukan itu para pembesarnya akan terpengaruh dengan Islam kerana motif politik, kedudukan, ekonomi dan sebagainya. Jika daerah yang ditawan itu telah Islam maka dangan penaklukan itu, Islam dapat dikembangkan dengan lebih berkesan lagi. Kerajaan Pasai sebagaimana yang diterangkan dalam catitan Ibnu Batutah telah meluaskan kuasa politiknya ke daerah sekitarnya dengan peperangan lalu Islam tersebar di daerah tersebut.
            Melaka di zaman kekuasaan Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki beberapa daerah di Tanah Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Petani, Kampar, Inderangiri, Rokan, Siak, Johor, Bangkalis dan lain-lainya. Oleh itu Islam tentunya dapat disebarkan dengan mudahnya di daerah jajahan takluk tersebut. Kerajaan Acheh yang merupakan sebuah empayar Islam yang tersebar di abad 16 dan 17 di Asia Tenggara ini yang mempunyai jajahan takluk yang luas di Sumatera dan Tanah Melayu tentunya dapat menyebarkan Islam dengan mudah juga di daerah tanah tajahannya itu. Memangnya ada tercatit dalam sejarah Acheh bahawa kerajaan Acheh telah mengirimkan para pendakwah Islam ke daerah tanah jajahannya itu di Tanah Jawa. Kerajaan Islam Demak juga telah menakluki daerah-daerah yang diperintah oleh kerajaan-kerajaan Hindu. Misalnya kerajaan Hindu Majapahit telah ditewaskan dan dijadikan tanah jajahan takluknya. Dengan ini maka Majapahit bertukar menjadi sebuah negara Islam.
            Faktor politik dan penaklukan turut menjadi antara faktor penting di dalam melihat perkembangan Islam di Alam Melayu. Antara contoh yang paling jelas ialah penguasan Melaka ke atas beberapa kawasan di Semenanjung Tanah Melayu seperti di Perak, Pahang dan sebagainya hingga sering sahaja dikatakan bahawa Islam di Perak di bawa dari Melaka

3.5              Faktor Pengislaman Pemerintah
           
            Pengislaman pemerintah merupakan salah satu faktor bagi perkembangan Islam di alam Melayu. Contohnya ialah di Melaka, apabila raja Melaka Parameswara memeluk Islam ramai pengikut-pengukut dan rakyat jelata yang masuk Islam. Apabila pemerintah memeluk Islam, nama mereka ditukar dan digelar sebagai sultan. Dalam proses pengislaman pemerintah saudagar-saudagar berperanan sebagai pendakwah. Saudagar-saudagar ini bukan sahaja berdagang tetapi juga menyebarkan Islam. Selalunya saudagar ini terdiri daripada orang-orang yang kaya. dan dapat menarik minat golongan pemerintah dengan kekayaan yang mereka miliki.
           
            Penyebaran Islam di Nusantara sangat berkait rapat dengan peranan pemerintah. Minat dan sokongan raja-raja dan pembesar-pembesar negeri terhadap gerakan penyebaran Islam sangat penting. Contohnya, sultan-sultan di Acheh terlibat secara langsung dalam kegiatan ilmu pengetahuan dan penyebaran Islam. Antaranya ialah Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Syamsuddin al-Sumaterani dihantar ke Pahang untuk meyebarkan dakwah Islamiah. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam turut menjadikan Acheh sebagai pusat pengajian dan kebudayaan Islam sehingga digelar sebagai Serambi Mekah. Institusi istana menjadi pusat pendidikan pengajian ilmu dan penyebaran Islam. Peranan sultan Melaka seperti Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mansur Syah. Sultan Muzaffar Syah.


3.6              Faktor Ahli Tasawuf dan Pendakwah

            Kegiatan penyebaran Islam dikembangkan oleh ahli-ahli tasawuf dan sufi. Ahli tasawuf dan sufi merupakan ulama Islam yang kuat beramal. Kedua-dua golongan ini telah menunjukkan teladan yang baik tentang Islam itu sendiri. Mereka berpakaian bersih, bersopan satun dan bertatatertib sehingga tingkah laku dan tutur kata mereka mempersonakan orang ramai.

            Di zaman Melaka, golongan ini juga diberi penghormatan yang tinggi oleh pemerintah kerana bijak dalam tutur kata. Nasihatnya didengar oleh sultan dan para pembesar. Di zaman kesultanan Acheh, golongan tasawuf telah diberi peranan penting dalam pentadbiran. Semasa pentadbiran Iskandar Muda, seramai 22 orang ulama (ahli tasawuf) telah menganggotai Balai Gadang yang menjadi pusat bagi membincangkan masalah pemerintahan negara dan masalah agama. Antara mereka adalah Hamzah Fansuri dan Nuruddin Al-Raniri. Mereka telah memberi sumbangan yang besar kepada Acheh dalah kegiatannya sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara.
           
            Kalangan pendakwah merupakan antara pihak yanga mempunyai tanggungjawab yang utama di dalam mengembangkan agama islam di Alam Melayu. Golongan ulama’ ini bukan sahaja memiliki pelbagai ilmu Islam bahkan mereka amat bertakwa kepada Islam serta mempunyai keperibadian dan karisma yang mulia sehingga mampu menarik pengaruh masyarakat setempat. Pendakwah yang juga kebanyakannya merupakan ahli sufi menjalankan usaha penyebaran Islam dan telah menniggalkan kesan yang mendalam terhadap kerajaan – kerajaan Islam Melaka, Acheh, Demak dan sebagainya. Di  Melaka, antara yang penting termasuklah Sheikh Ismail, Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Maulana Ishak, Maulana Yusuf dan Sidi Arab. Di Acheh pula, muncul Hamzah Fansuri, Samsudin Al- Sumatrani, Nurudin Raniri, Abdul Rauf Singkel dan sebagainya.

4.      KESAN DARIPADA KEDATANGAN AGAMA ISLAM KE ALAM MELAYU


4.1              Akidah Dan Kepercayaan

            Dari segi akidah dan kepercayaan, kedatangan  Islam telah mengubah pandangan orang Melayu daripada mempercayai dewa-dewa seperti yang mereka anuti di zaman Hindu kepada mempercayai tuhan yang Maha Esa. Disamping itu mereka dibimbing mempercayai Nabi-Nabi, Rasul, Malaikat, Kitab-Kitab Suci, Hari Kiamat dan Qadha dan Qadar. Kemudian diikuti oleh kepimpinan kearah menunaikan amal Ibadat seperti yang terkandung dalam rukun Islam yang lima dan yang selain daripada itu.  Sepanjang abad ke13-16 Masihi, Alam Melayu mengalami proses perubahan yang menghasilkan masyarakat yang putus dari tradisi pra-Islamnya kepada perubahan jiwa dan minda serta berpegang teguh kepada akidah, syariat, world view serta niali-nilai hidup Islam yang murni. Ia membuka laluan bagi Alam Melayu untuk bangkit menjadi ‘Khairu Ummah’, berusaha menghargai nilai diri serta mempunyai sikap dan tabiat menghargai akal fikiran.

4.2              Pendidikan

            Islam bertapak di alam Nusantara yang meliputi negara Asia Tenggara iaitu Tanah Melayu(Malaysia), Indonesia,Thailand dan Filipina melalui pedagang Arab yang datang berdagang di Nusantara, usaha penyebaran agama Islam dari ulama atau tuan guru dari Tanah Arab(Timur Tengah) dan ahli-ahli sufi.
            Perkembangan ilmu pengetahuan dan pandangan semesta ternyata agama Islam telah membawa perubahan dan pembaharuan kepada tamadun Melayu dan istana dijadikan pusat kegiatan dan penyebaran ilmu pengetahuan terutamanya agama Islam. Semua golongan tanpa mengira kedudukan sosial berpeluang untuk mendapat dan mempelajari ilmu pengetahuan. Kesannya muncullah golongan intelektual, terutama alim ulama’ yang telah menghasilkan tulisan mereka, terutama karya-karya berbentuk keagamaan yang disampaikan dalam bentuk persuratan yang dinamakan sastera kitab.
            Perkembangan ilmu islam bermula di institut pendidikan islam di rumah, masjid, kuttab(pondok), dan sekolah kemudian wujud ke seluruh nusantara. Struktur pengajian Islam dan institusi-institusinya yang wujud di Nusantara sama dengan yang terdapat di negeri-negeri Arab. Oleh itu, tempat-tempat pendidikan itu mengandungi dua peringkat iaitu:
i.                    Tempat Pendidikan Sebelum Penubuhan Sekolah
            Sebelum penubuhan sekolah, ulama memainkan peranan yang sempurna yang mempunyai kegiatan kemasyarakatan dan menjalankan tanggungjawab kepada Allah s.w.t, Rasullullah dan agama Islam. Sistem masjid sebagai markas dapat dilihat sebagai suatu bentuk pemusatan kegiatan islam sebab masjid itulah yang selalu nya dibina di tempat-tempat yang berhampiran dengan semua jenis kegiatan seperti di tepi sungai – seperti di Melaka –kerana sungai menjadi jalan berhubungan, supaya setiap yang lalu akan singgah menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah s.w.t apabila tiba masanya. Berhampiran dengan masjid itu ada pasar dan pelabuhan. Untuk itu, cuba perhatikan kedudukan masjid Kampung Hulu dan Kampung Keling serta Surau Kampung Jawa di Melaka yang masih menampakkan sifat keislaman masyarakat Melayu. Di antara pelajaran-pelajaran yang diajarkan di masjid ialah ilmu Tafsir, Hadith, Fiqh, bahasa kesusteraan dan sebagainya. Pengajaran disampaikan adalah dalam bentuk syarahan.

ii.                  Tempat Pendidikan Selepas Penubuhan Sekolah
            Mulai penghujung abad ke-19, terutamanya selepas Perang Dunia I, sekolah pondok, sekolah Arab dan madrasah muncul di merta tempat dengan matlamat memberi kekuatan dan bimbingan kepada umat Islam supaya mereka tidak dihanyutkan oleh arus pembaharuan yang bercorak barat. Pembinaan sekolah agama serta masjid atau surau adalah usaha rakyat sendiri, kadang kala di bantu oleh para dermawan. Sebagai contoh di Kota Bharu, selain menjadi pusat pentadbiran negeri Kelantan ia merupakan pusat pengajian Islam. Di Kota Bharu, pengajaran agama melalui sistem persekolahan hanya terdapat di Madrasah Muhammaddiah.

4.3              Kebudayaan
            Pembentukan kebudayaan Melayu yang melibatkan satu proses pembinaan, penerusan dan evolusi yang mengambil masa panjang. Islam dalam kebudayaan Melayu merupakan satu usaha menyelusuri proses Islamisasi yang berlaku di Alam Melayu sehingga akhirnya mengetengahkan identiti dan jatidiri, dan pembinaan peradaban Melayu Islam di rantau ini.

4.4              Seni Bina

            Dalam bidang kesenian pengaruh Islam pula dapat dilihat pada makam atau batu nisan, masjid dan perhiasan-perhiasannya. Batu nisan merupakan karya seni Islam yang pertama sekali masuk ke nusantara. Contohnya yang pernah ditemui ialah batu nisan Syeikh Abdul al-Qadir Husain Alam bertarikh 903 masihi yang dijumpai di Linggir Kedah. Pada permukaan makam-makam yang dijumpai ini terdapat tulisan yang dipahat daripada ayat Al-Quran serta ajaran Islam yang menekankan tentang hukum dan tasawuf. Misalnya pada prasasti di Pekan Pahang, tertulis ayat Al Quran dengan gaya khat thuluth daripada surah Ali Imran ayat 185, surah Yunus ayat 62 serta nasihat bercorak kesufian. Dari segi corak batu nisan tersebut, di samping menerima pengaruh asing ia juga memancarkan daya kreativiti penduduk tempatan. Contohnya, batu nisan Maulana Malik Ibrahim yang dibawa dari Gunung Jeram mempunyai bentuk seperti kepala terbalik yang menunjukkan adanya pengaruh Parsi.
            Selain batu nisan, masjid merupakan karya seni Islam yang terpenting di nusantara. Pola-pola yang menjadi perhiasan yang berasal dari zaman pra Islam seperti daun-daunan, bunga teratai, bukit-bukit karang, permandangan dan garis-garis geometri dapat dilihat pada setiap pembinaan masjid dan bangunan lain. Di samping itu, terdapat juga perkembangan kaligrafi atau seni khat Islam. Ini dapat dilihat pada makam, masjid dan sebagainya. Contohnya masjid terdapat ukiran khat pada mihrab, mimbar, bingkai atau lengkung tiang dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa seni ini juga dipengaruhi oleh unsur pra Islam yang telah lama seperti dengan masyarakat tempatan.
            Seni muzik dan tarian-tarian dari Timur Tengah telah meresap masuk dan diterima dengan baik oleh orang Melayu. Alat-alat seperti rebana dan kompang yang merupakan alat muzik yang diharuskan oleh Islam telah menjadi alat-alat muzik orang Melayu bagi mengiringi tarian rebana dan zapin. Tarian-tarian asli Melayu juga diiringi oleh alat-alat muzik ini.
4.5              Sistem Tulisan

            Serentak dengan penyebaran agama Islam dan bahasa Melayu ini, tersebar juga satu jenis tulisan khusus orang Melayu yang dikenali sebagai tulisan jawi. Tulisan ini yang merupakan adaptasi orang Melayu terhadap tulisan Arab-Parsi telah berjaya menggantikan tulisan Sanskrit dan Palawa (Kawi) yang hanya diketahui oleh golongan pendeta dan Brahmin. Ini membawa tulisan Jawi yang berperanan penting dalam perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu. Oleh itu, manuskrip lama banyak yang ditulis dalam huruf Jawi. Bahkan, karya-karya lama lebih banyak dalam bentuk tulisan Jawi daripada yang telah dirumikan.

4.6              Politik, Perundangan Dan Pentadbiran

            Kedatangan Islam telah mewujudkan satu sistem politik dan pentadbiran yang stabil di Kepulauan Melayu dan ia juga turut membawa perubahan dari segi politik dan pentadbiran. Kedatangan Islam telah membuka Kepulauan Melayu kepada pedagang-pedagang asing dan mendedahkan orang Melayu kepada masyarakat antarabangsa. Seperti kata Ahmad Ibrahim, melalui perdagangan ini telah menjadikan orang Melayu sebahagian daripada warganegara dunia dan tidak lagi sebagai hamba kepada seorang dewaraja yang tersepit dilembah-lembah sungai yang sempit (1970:5).  Konsep ‘devaraja’ yang menjadi pegangan politk dan lambang daulat raja-raja tempatan telah digantikan dengan konsep ‘khalifatullah fil-ardhi’.
            Sejarah perundangan di kepulauan Melayu seperti Malaysia dengan jelas membuktikan bahawa undang-undang Islam telah mantap dan dilaksanakan dalam pemerintahan Kerajaan Melayu sebelum kedatangan Inggeris. Terdapat bukti yang jelas menunjukkan undang-undang telah dikanunkan dengan cara teratur bagi pemakaian dan panduan kerajaan Melayu ketika itu seperti ‘Hukum Kanun Melaka’, ‘Undang-Undang Pahang’ dan ‘Undang-Undang Kedah’. Beberapa bahagian kanun tersebut adalah petikan daripada hukum fiqah Mazhab Syafie.
            Selepas kedatangan Inggeris khususnya dengan penerimaannya Sistem Residen, secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit prinsip undang-undang Inggeris dimasukkan ke dalam sistem pentadbiran, perundangan dan kehakiman masyarakat Melayu. Akhirnya beberapa undang-undang seperti Kanun Keseksaan,Enakmen Keterangan dan Kanun Acara Jenayah telah diperundangkan di mana Undang-Undang Islam dalam bidang berkenaan tidak lagi berkuasa.
            Berikutan dengan itu, perundangan Islam pun mula diperbuat dalam bentuk Enakmen dan Ordinan bagi mendapatkan penguatkuasaan undang-undang. Keadaan ini meletakkan kedudukan Islam sama dengan bahagian undang-undang lain yang perlu dikanunkan. Cara ini telah diikuti hingga ke hari ini seperti mana yang diperjelaskan dalam Perlembagaan Negara. Ini boleh didapati dalam Jadual Ke-Sembilan Senarai Negeri.
            Justeru, daripada apa yang dinyatakan terbuktilah pengaruh Islam terlebih dahulu bertapak di dalam masyarakat Melayu. Walaupun terdapat perubahan tetapi perundangannya adalah mengikut kesesuaian zaman tersebut.

4.7              Sistem Kekeluargaan
            Kedatangan Islam telah memantapkan lagi sistem kekeluargaan masyarakat Melayu. Dalam Masyarakat Melayu, pembentukan jati diri dan peribadi Melayu yang baik, beragama, berakhlak dan berbudi menjadi keutamaan. Keluarga sebagai agen sosialisasi dan menjadi utama dalam masyarakat menjalankan tanggungjawab ini dan turnt dibantu untuk komuniti yang melaksanakan kawalan serta tekanan sosial. Tujuan utamanya ialah mendidik dan mengajar supaya seseorang anak itu akan menjadi anggota masyarakat yang baik.
            Sistem kekeluargaan masyarakat Melayu berteraskan Islam dan adat. Sejak lahir lagi seseorang itu dididik berteraskan Islam dan adat sehinggalah mereka dewasa. Contohnya sebaik sahaja seseorang itu dilahirkan, bapa atau datuk akan mengazankan bayi lelaki, atau mengkamatkan bayi perempuan. Tujuannya ialah untuk memperdengarkan buat pertama kalinya kepada bayi itu seruan azan dan kalimah syahadah dan meniupkan roh dan semangat Islam kepada bayi tersebut.

            Proses sosialisasi pada tahap kanak-kanak juga memperlihatkan penerapan unsur-unsur Islam yang berterusan. Seseorang kanak-kanak sejak kedl lagi diajar konsep-konsep dosa, pahala, haram dan sebagainya. Setelah meningkat umur lima tahun ke atas kanak-kanak juga'diajar bersembahyang, berpuasa dan lain-lain. Selain itu mereka juga diajar supaya hormat-menghormati, bertolak ansur dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam menjalani kehidupan seharian.
            Kedatangan Islam juga telah menyusun institusi kekeluargaan masyarakat Melayu dengan lebih teratur. Islam telah menentukan garis panduan dalam membina keluarga berasaskan ajaran Islam. Contohnya dalam pemilihan jodoh, tanggungjawab suami, tanggungjawab isteri dan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa. Selain itu pelbagai adat dan budaya Islam perlu dihayati oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak seperti meletakkan nama yang baik kepada anak mereka, mengadakan akikah, menyusukan anak selringga berumur dua tahun, mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang beriman, bertaqwa, berakhlak mulia dan menghormati kedua ibu bapa mereka.

4.8              Kesusteraan

            Sebelum kedatangan unsur dari luar, masyarakat pribumi sudah pun mempunyai kesusasteraan yang tersendiri. Sebelum masyarakat tempatan tahu menulis, melalui cara pertuturan sajalah mereka menyampaikan perasaan atau curahan hati masing-masing. Ini dikenali sebagai sastera lisan. Dari percakapan yang pendek membawa kepada percakapan yang panjang hingga menggambarkan suatu cerita. Dengan ini timbullah jenis-jenis kesusasteraan mengikut kaedah namanya yang sesuai dengan zaman itu seperti bidalan, peribahasa, perumpamaan dan perbilangan. Selain itu pantun juga merupakan sastera yang tertua terdapat pada masyarakat Melayu. Hasil sastera yang yang dihasilkan ini adalah melalui pengalaman dan pemerhatian masyarakat terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari. Kedatangan unsur luar telah memperkayakan lagi unsur pribumi ini.
            Setelah kedatangan pengaruh India, kita dapat lihat bagaimana unsur tempatan telah diserapi oleh pengaruh ini. Pengaruh India yang paling penting ialah penerimaan dua buah epik Ramayana, lahirnya karya-karya prosa dan juga puisi seperti hikayat Seri Rama, Rama Keling dan sebagainya. Walaupun terdapat pengaruh ini, tetapi jika ditinjau dengan lebih mendalam ternyata warisan pribumi masih menebal. Menurut Prof. Mohd Taib Osman, karya-karya sastera daripada warisan Hindu itu masih dipercayai segala isi ceritanya, meskipun orang Melayu sudah menganut agama Islam selama beratus-ratus tahun. Antara unsur kepercayaan Hindu daripada epik tersebut yang mempengaruhi karya sastera yang lain ialah cerita dewa dewi yang bersifat manusia dan tuhan, kejadian luar biasa seperti penjelmaan dalam pelbagai bentuk serta senjata ghaib dan sakti. Setelah kedatangan Islam di Nusantara, proses penanaman aqidah Islam melalui cerita atau kisah-kisah melalui 2 cara iaitu dengan mengubahsuai cerita yang sedia tersebar dengan unsur Islam dan mengetengahkan cerita-cerita baru yang berasal dari tradisi Islam seperti kisah-kisah tauladan di zaman nabi-nabi serta kisah nabi.
            Kesusasteraan dimulakan dengan cara lisan dan diikuti dengan tulisan Arab(jawi), dan bermulalah penulisan dan penyalinan kitab-kitab yang berkaitan dengan agama. Contohnya seperti kitab-kitab Risalat Dua Kalimah Syahadah, peraturan dan rukun-rukun sembahyang, peraturan puasa dan sebagainya. Kemudian dikembangkan pula dengan doa-doa dan kisah-kisah nabi, kitab feqah, tafsir Al-Quran, hikayat para nabi, cerita pahlawan Islam dan lain-lain lagi. Kedatangan Islam menyebabkan kesusasteraan masyarakat pribumi makin berkembang dan berdiri di landasan yang benar. Kesusasteraan masyarakat tempatan tidak tidak hilang malah kekal sehingga ke hari ini. Contohnya sehingga ke hari ini khazanah yang begitu bernilai seperti pantun masih lagi kekal dan mutunya masih tidak dapat ditandingi oleh ciptaan generasi masa kini.



 5.      KESIMPULAN

            Kedatangan Islam ke Alam Melayu sememangnya membawa banyak perubahan dan pengharapan baru dalam keagungan Tamadun Melayu. Proses penyerapan Islam ini berlaku secara berperingkat-peringkat di kalangan masyarakat Melayu yang bermula daripada golongan daripada golongan istana, pembesar sehinggalah kepada rakyat biasa. Proses Islamisasi ini menjadikan masyarakat Melayu akhirnya dapat menerima ajaran Islam dengan baik. Ini adalah kerana keistimewaan ajaran Islam itu sendiri yang sederhana dan tiada paksaan.

            Kedatangan Islam bukan sahaja telah  mengubah pegangan hidup masyarakat Melayu, malah telah membentuk cara hidup baru dalam amalan seharian masyarakat. Malahan amalan­amalan Islam yang berunsur tahyul dan khurafat telah ditinggalkan secara beransur­ansur oleh masyarakat Melayu.  Masyarakat Melayu juga telah berubah daripada masyarakat yang buta huruf kepada masyarakat yang mengamalkan tradisi keilmuan. Penyebaran  agama Islam dijadikan sebagai teras dalam pembinaan tradisi budaya Melayu. Orang-orang Melayu yang menganut agama Islam menyedari dan memahami nilai-nilai yang telah ditetapkan oleh Islam dan berusaha menyesuaikan warisan tradisi budaya dan kehendak-kehendak Islam. Mereka menekankan usaha memupuk nilai-nilai Islam sebagaimana yang dikehendaki dari satu generasi kepada generasi seterusnya. Malah, institusi-institusi sosial dan agama dalam masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha memupuk dan mempertahankan nilai-nilai sosial dan agama yang mereka bina.


 6.  RUJUKAN

 1.      Abdul Rahman Haji Abdullah (1990).Pemikiran Umat Islam di Nusantara:Sejarah dan
      Perkembangannya Hingga Abad ke-19.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
2.      Ahmad Ibrahim, “Kedudukan Hukum Islam dalam Masyarakat Melayu”, dlm. Islam dan
      Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Kem. Kebudayaan, Belia dan Sukan, 1977.
3.      Ahmad Jelani Halimi (2008).Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu.Kuala
      Lumpur:Unipress Printer sdn. Bhd.
4.      A.Aziz Deraman (2000).Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia:Edisi Baru.
      Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
5.      Hashim Hj. Musa (2004).Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia:Menghadapai
      Globalisasi Barat.Kuala Lumpur:Penerbit Universiti Malaya.
6.      Institut Kefahaman Islam Malaysia (2005).Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam.Kuala
      Lumpur:CentRePro Sdn. Bhd.
7.      Ismail Hussein, Aziz Deraman, Abd. Rahman Al-Ahmadi (1989).Tamadun Melayu:Jilid
      Dua.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
8.      Mohd.Koharuddin Mohd. Balwi (2005). Peradaban Melayu.Kuala Lumpur:UTM Press.
9.      Zulkiflee Haron, Ramli Awang, Mohd Nasir Ripin, Siti Norlina Muhamad Farawahida
      Mohd Yusof (2011). Tamadun Islam & Tamadun Asia. Kuala Lumpur: UTM Press.