TAJUK
|
1.
PENGENALAN
Sebelum
kedatangan Islam, masyarakat Melayu menganuti fahaman animisme. Keadaan ini
berubah selepas kedatangan Islam yang membawa konsep tauhid dengan menafikan
kewujudan Tuhan yang banyak. Bermula dengan konsep keesaan Tuhan dan ibadat
yang luas, Islam telah berjaya menarik
minat masyarkat tempatan. Sejak kedatangan Islam, kehidupan harian masyarakat
Melayu dan adat istiadat tertentu yang didapati bertentangan dengan akidah
ditinggalkan secara beransur-ansur (Ruslan Zainuddin, 2004; 91-92).
Kedatangan
Islam telah menyebabkan berlaku proses Islamisasi di Alam Melayu dengan
kesan-kesannya sebagaimana yang dilihat dalam sejarah. Antaranya, berlaku
perubahan akidah Melayu kepada kehidupan kerohanian. Namun, masih ada
unsurunsur budaya Hindu-Buddha dan animisme yang masih diamalkan. Proses
Islamisasi dalam masyarakat Melayu telah
merubah pelbagai aspek kehidupan seperti rohani, intelektual dan
kemasyarakatan.
1.1
Pengertian
Agama
Istilah agama berasal dari bahasa
Sansekerita dan bererti warisan tertulis yang yang diturunkan dari generasi ke
generasi. Istilah ini digunakan oleh orang Hindu untuk merujuk kepada
kitab-kitab Vedik, iaitu kitab suci Hindu. Namun begitu, orang Islam di rantau
Asia Tenggara yang berbahasa Melayu tidak memahami agama dalam erti Hindu ini
(al-Atas, Farid, 2005:3).
Merujuk
kepada Kamus Dewan, "agama bererti:
i.
Kepercayaan
pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya
ii.
Kepercayaan
pada yang Maha Kuasa
iii.
Kepercayaan
pada sesuatu dewa dan lain-lain yang dipuja dan sebagainya dan dianggap sebagai
sesuatu yang amat berkuasa.
1.2
Pengertian
Islam
Islam
dari segi bahasa merupakan nama terbitan dari kata kerja salima yang boleh
membawa maksud:
(i) ketulenan dan kesucian
(u) kedamaian, keamanan atau kesejahteraan
(ui) ketaatan dan penyerahan (Afif Abd al-Fattah
Tabbarah, 1969:17).
Islam
berbeza dari agama-agama lain yang ada di muka bumi ini kerana perkataan Islam
tidak mempunyai hubungkait sama ada dengan individu-indidu tertentu, golongan
atau tempat tertentu. Dari segi pemilihan nama, Islam merupakan nama istimewa
yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada Din-Nya. Al-Quran sebagai kalam Allah
menyebut Islam sebagai al-lslam dan ia adalah ad- din (Abdullah Akhili, et. al,
1996:2).
2.
TEORI
KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU
Terdapat tiga teori kedatangan Islam di Tanah Melayu
iaitu kedatangan Islam dari India, China dan Arab. Teori-teori ini banyak
dikemukakan oleh sejarahwan-sejarahwan seperti Pijnappal, Snouck Hugronje, B.
Harisson, Thomas Arnold, Morquette, R.O. Winstedt, S.Q. Fatimi, Syed Muhammad
Nuqaib al-Atlas, HAMKA dan sebagainya.
2.1
Kedatangan Islam Dari Tanah Arab
Di tanah
Melayu terdapat bukti-bukti yang kuat bahawa agama Islam itu dibawa secara
langsung dari tanah Arab oleh bangsa Arab. Sebagai contohnya, Maharaja Derbar
Raja II, raja Kedah telahpun diislamkan pada tahun 531 H/1136 M, oleh Sheikh
Abdullah bin Sheikh Ahmad al-Qaumiri al-Yamani seorang ulama berbangsa Arab
yang datang dari Yaman (Abdullah Ishak,
1990:60).
Selain
itu, hubungan perdagangan telahpun terjalin antara Alam Melayu dengan Tanah
Arab sejak sebelum kelahiran Islam lagi dan ia berterusan selepas kelahirannya.
Penyebaran Isam di Tanah Arab telah meluas dan ini termasuk Yaman yang
merupakan perlabuhan perdagangan yang penting. Pedagang-pedagang Islam yang
tertumpu di Yaman turut menjalankan aktiviti perdagangan dengan Asia Tenggara.
2.2
Kedatangan Islam Dari India
S.Q. Fatimi, Morison
Harison, RA. Kern dan Snouck Hurgronje pula berpendapat bandar pelabuhan
Gujerat di India memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam melalui
perdagangan Mereka berpendapat bahawa ramai pemimpin Abbaslyah dan Umaiyah di
Andalus melarikan diri daripada tindakan pihak berkuasa, sebagai pelarian
politik dan mendapatkan perlindungan di India dan juga di Alam Melayu. Ini
adalah berpandukan kepada persamaan mazhab yang dianuti mazhab Syafie. B.
Harrison berpendapat khidmat nasihat dan bimbingan dalam hal-hal perniagaan dan
kebudayaan. Dan menerusi hubungan dua hala itu, penduduk Nusantara berminat
dengan Islam yang telah pun dianuti oeh pedagang-pedagang India (Abdullah
Ishak, 1990:61)
2.3
Kedatangan Islam
Dari China
Terdapat
juga teori yang turut menyokong kedatangan Islam dari China. Emanuel Godinho De
Evedia menyatakan Islam datang ke Nusanara dari China melalui Canton dan Hainan
pada kurun ke-9 Masihi. Pada tahun 878 Masihi, pembrontakan telah berlaku di
Cnton menyebabkan seramai 100 000 orang asing terbunuh. Akibat daripada
perisitwa itu, telah menyebabkan ramai orang Arab-Islam melarikan diri ke kedah
dan Palembang. Dalam masa yang sama catatan Dinasti Sung pula menyatakan bahawa
kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui sepanjang pantai Laut China Selatan dan
dibawa oleh pedagang-pedagang Islam dari China oada awal 977 Masihi (Azhar Hj.
Mad Aros, 2000:256)
Bukti
kedatangan Islam dari China dapat dilihat melalui hubungan perdagangan antara
orang-orang Arab dengan China yang dikatakan telah berlaku sejak kelahiran
agama Islam lagi. Perdagangan antara Arab dan China secara tidak langsung
mewujudkan hubungan antara China dengan Kepulauan Melayu.
3.
FAKTOR PENYEBARAN AGAMA ISLAM KE ALAM MELAYU
3.1
Faktor
ajaran Islam
Kedatangan
Islam ke Nusantara terpaksa menghadapi persaingan agama Hindu yang telah
bertapak selama 13 abad. Namun, semua aspek ajaran Islam itu mempunyai
kelebihannya yang menyebabkan Islam mudah diterima oleh penduduk Nusantara.
Salah satu kebaikan Islam ialah mudah difahami, tidak bertentangan dengan akal
fikiran, sentiasa rasional dan amat sesuai bagi semua manusia pada segenap
zaman dan tempat. Misalnya, dalam aspek sosial, Islam mengajarkan bahawa semua
manusia adalah sama taraf dan manusia yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah
mereka yang paling bertakwa. Di samping itu, Islam memberikan jaminan dan
keadilan sosial, menekankan persaudaraan Islam yang bersifat universal,
tolong-menolong, hormat-menghormati, bersatu padu, dan lain-lain.
3.2
Faktor
Perdagangan
Para pedagang memang memainkan
peranan penting dalam penyebaran Islam di Nusantara. Para pedagang Arab, India,
Parsi memang mempunyai kegiatan perdagangan di Nusantara sejak abad ke 8 atau 9
Masihi. Peranan mereka dalam penyebaran Islam ini dapat dibahagikan kepada dua
iaitu usaha mereka sendiri menyampaikan Islam kepada penduduk tempatan dan
keduanya ialah melalui kemudahan yang mereka berikan kepada para pendakwah
Islam menaiki kapal-kapal mereka untuk bergerak dari satu pelabuhan ke
pelabuhan lain untuk berdakwah. Para pedagang Islam mempunyai peluang yang
sebaik-baiknya untuk menyebarkan Islam melalui tiga saluran iaitu hubungan baik
mereka dengan para penguasa pelabuhan, raja atau pembesar-pembesar tempatan.
Pedagang-pedagang
Islam dipercayai telah mendirikan koloni-koloni mereka di Perairan Semenanjung
Tanah Melayu dan Sumatera untuk menjalankan kegiatan perdagangan. Selain
menjadi pedagang, saudagar-saudagar tersebut menjalankan kegiatan dakwah di
kawasan-kawasan yang disinggahi. Ada antara mereka yang tidak menjalankan
kegiatan dakwah tetapi telah memberikan kemudahan kepada golongan pendakwah
menaiki kapal-kapal mereka bagi menyebarkan dakwah dari satu pelabuhan ke
pelabuhan yang lain.
Perdagangan
merupakan antara kaedah penting di dalam memperkembangkan Islam. Ini adalah
kerana, hanya dengan bantuan aktiviti perdagangan sahaja yang memungkinkan
Islam yang berasal di sebuah wilayah yang jaraknya beribu-ribu batu dari Alam
Melayu mampu berkembang. Meskipun jalan darat mempunyai peranan besar dalam
melihat kedatangan Islam, namun ia masih kecil berbanding pengaruh yang dapat
dimainkan oleh perdagangan serta laluan laut. Perdagangan yang berlangsung
antara masyarakat Arab dengan Alam Melayu yang berlaku sejak sebelum Islam
turut berkembang semasa zaman Islam. Alam Melayu yang mempunyai sejumlah hasil
yang penting dalam perdagangan menjadi tarikan utama kepada pedagang-pedagang
Arab ini. Malah dalam menjalankan aktiviti pedagangan, pedgang-pedagang Arab
terutamanya dari Hadramaut turut menjalankan aktiviti menyebarkan Islam. Ini
kerana Islam itu sendiri merupakan agama yang bersifat dakwah dan penyebaran
Islam merupakan tugas setiap penganutnya. Oleh yang demikin, tidak hairanlah
jika diperhatikan bahawa kebanyakan tapak awal Islam di Alam Melayu adalah juga
merupakan pelabuhan-pelabuhan utama seperti Melaka, Aru, Perlak dan sebagainya.
3.3
Faktor
Perkahwinan
Perkahwinan
ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar tempatan
untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka
seterusnya akan diikuti golongan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai.
Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam.
Agama
Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara raja sesebuah negara dengan
puteri raja dari negara lain. proses ini biasanya dipanggil perkahwinan
sahsiah. Langkah ini turut membantu perkembangan Islam ke sesebuah negara.
Umpamanya perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskandar Syah menyebabkan Islam
tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka
dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua
menjadi negeri Islam kemudiannya
3.4
Faktor
Politik Dan Penaklukan
Penaklukan
juga tidak kurang pentingnya menjadi faktor pendorong tersebarnya Islam di
Nusantara ini. Apa yang dimaksudkan ialah penaklukan yang dilakukan oleh
sesebuah negara Islam ke atas daerah lain. Jika daerah yang ditawan itu belum
Islam maka dengan penaklukan itu para pembesarnya akan terpengaruh dengan Islam
kerana motif politik, kedudukan, ekonomi dan sebagainya. Jika daerah yang
ditawan itu telah Islam maka dangan penaklukan itu, Islam dapat dikembangkan
dengan lebih berkesan lagi. Kerajaan Pasai sebagaimana yang diterangkan dalam
catitan Ibnu Batutah telah meluaskan kuasa politiknya ke daerah sekitarnya
dengan peperangan lalu Islam tersebar di daerah tersebut.
Melaka
di zaman kekuasaan Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki beberapa daerah
di Tanah Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Petani, Kampar,
Inderangiri, Rokan, Siak, Johor, Bangkalis dan lain-lainya. Oleh itu Islam
tentunya dapat disebarkan dengan mudahnya di daerah jajahan takluk tersebut.
Kerajaan Acheh yang merupakan sebuah empayar Islam yang tersebar di abad 16 dan
17 di Asia Tenggara ini yang mempunyai jajahan takluk yang luas di Sumatera dan
Tanah Melayu tentunya dapat menyebarkan Islam dengan mudah juga di daerah tanah
tajahannya itu. Memangnya ada tercatit dalam sejarah Acheh bahawa kerajaan
Acheh telah mengirimkan para pendakwah Islam ke daerah tanah jajahannya itu di
Tanah Jawa. Kerajaan Islam Demak juga telah menakluki daerah-daerah yang
diperintah oleh kerajaan-kerajaan Hindu. Misalnya kerajaan Hindu Majapahit
telah ditewaskan dan dijadikan tanah jajahan takluknya. Dengan ini maka
Majapahit bertukar menjadi sebuah negara Islam.
Faktor
politik dan penaklukan turut menjadi antara faktor penting di dalam melihat
perkembangan Islam di Alam Melayu. Antara contoh yang paling jelas ialah
penguasan Melaka ke atas beberapa kawasan di Semenanjung Tanah Melayu seperti
di Perak, Pahang dan sebagainya hingga sering sahaja dikatakan bahawa Islam di
Perak di bawa dari Melaka
3.5
Faktor
Pengislaman Pemerintah
Pengislaman pemerintah merupakan
salah satu faktor bagi perkembangan Islam di alam Melayu. Contohnya ialah di
Melaka, apabila raja Melaka Parameswara memeluk Islam ramai pengikut-pengukut dan
rakyat jelata yang masuk Islam. Apabila pemerintah memeluk Islam, nama mereka
ditukar dan digelar sebagai sultan. Dalam proses pengislaman pemerintah
saudagar-saudagar berperanan sebagai pendakwah. Saudagar-saudagar ini bukan
sahaja berdagang tetapi juga menyebarkan Islam. Selalunya saudagar ini terdiri
daripada orang-orang yang kaya. dan dapat menarik minat golongan pemerintah
dengan kekayaan yang mereka miliki.
Penyebaran Islam di Nusantara sangat
berkait rapat dengan peranan pemerintah. Minat dan sokongan raja-raja dan
pembesar-pembesar negeri terhadap gerakan penyebaran Islam sangat penting.
Contohnya, sultan-sultan di Acheh terlibat secara langsung dalam kegiatan ilmu
pengetahuan dan penyebaran Islam. Antaranya ialah Sultan Alauddin Riayat Syah dan
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Syamsuddin al-Sumaterani dihantar ke Pahang
untuk meyebarkan dakwah Islamiah. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam turut
menjadikan Acheh sebagai pusat pengajian dan kebudayaan Islam sehingga digelar
sebagai Serambi Mekah. Institusi istana menjadi pusat pendidikan pengajian ilmu
dan penyebaran Islam. Peranan sultan Melaka seperti Sultan Alauddin Riayat Syah
dan Sultan Mansur Syah. Sultan Muzaffar Syah.
3.6
Faktor
Ahli Tasawuf dan Pendakwah
Kegiatan penyebaran Islam dikembangkan
oleh ahli-ahli tasawuf dan sufi. Ahli tasawuf dan sufi merupakan ulama Islam
yang kuat beramal. Kedua-dua golongan ini telah menunjukkan teladan yang baik
tentang Islam itu sendiri. Mereka berpakaian bersih, bersopan satun dan
bertatatertib sehingga tingkah laku dan tutur kata mereka mempersonakan orang
ramai.
Di zaman Melaka, golongan ini juga
diberi penghormatan yang tinggi oleh pemerintah kerana bijak dalam tutur kata.
Nasihatnya didengar oleh sultan dan para pembesar. Di zaman kesultanan Acheh, golongan
tasawuf telah diberi peranan penting dalam pentadbiran. Semasa pentadbiran
Iskandar Muda, seramai 22 orang ulama (ahli tasawuf) telah menganggotai Balai
Gadang yang menjadi pusat bagi membincangkan masalah pemerintahan negara dan
masalah agama. Antara mereka adalah Hamzah Fansuri dan Nuruddin Al-Raniri.
Mereka telah memberi sumbangan yang besar kepada Acheh dalah kegiatannya
sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara.
Kalangan pendakwah merupakan antara
pihak yanga mempunyai tanggungjawab yang utama di dalam mengembangkan agama
islam di Alam Melayu. Golongan ulama’ ini bukan sahaja memiliki pelbagai ilmu
Islam bahkan mereka amat bertakwa kepada Islam serta mempunyai keperibadian dan
karisma yang mulia sehingga mampu menarik pengaruh masyarakat setempat.
Pendakwah yang juga kebanyakannya merupakan ahli sufi menjalankan usaha
penyebaran Islam dan telah menniggalkan kesan yang mendalam terhadap kerajaan –
kerajaan Islam Melaka, Acheh, Demak dan sebagainya. Di Melaka, antara yang penting termasuklah
Sheikh Ismail, Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Maulana Ishak, Maulana Yusuf
dan Sidi Arab. Di Acheh pula, muncul Hamzah Fansuri, Samsudin Al- Sumatrani,
Nurudin Raniri, Abdul Rauf Singkel dan sebagainya.
4.
KESAN
DARIPADA KEDATANGAN AGAMA ISLAM KE ALAM MELAYU
4.1
Akidah
Dan Kepercayaan
Dari
segi akidah dan kepercayaan, kedatangan Islam telah mengubah pandangan orang Melayu
daripada mempercayai dewa-dewa seperti yang mereka anuti di zaman Hindu kepada
mempercayai tuhan yang Maha Esa. Disamping itu mereka dibimbing mempercayai
Nabi-Nabi, Rasul, Malaikat, Kitab-Kitab Suci, Hari Kiamat dan Qadha dan Qadar.
Kemudian diikuti oleh kepimpinan kearah menunaikan amal Ibadat seperti yang
terkandung dalam rukun Islam yang lima dan yang selain daripada itu. Sepanjang abad ke13-16 Masihi, Alam Melayu
mengalami proses perubahan yang menghasilkan masyarakat yang putus dari tradisi
pra-Islamnya kepada perubahan jiwa dan minda serta berpegang teguh kepada akidah,
syariat, world view serta niali-nilai hidup Islam yang murni. Ia membuka laluan
bagi Alam Melayu untuk bangkit menjadi ‘Khairu Ummah’, berusaha menghargai
nilai diri serta mempunyai sikap dan tabiat menghargai akal fikiran.
4.2
Pendidikan
Islam
bertapak di alam Nusantara yang meliputi negara Asia Tenggara iaitu Tanah
Melayu(Malaysia), Indonesia,Thailand dan Filipina melalui pedagang Arab yang
datang berdagang di Nusantara, usaha penyebaran agama Islam dari ulama atau
tuan guru dari Tanah Arab(Timur Tengah) dan ahli-ahli sufi.
Perkembangan
ilmu pengetahuan dan pandangan semesta ternyata agama Islam telah membawa
perubahan dan pembaharuan kepada tamadun Melayu dan istana dijadikan pusat
kegiatan dan penyebaran ilmu pengetahuan terutamanya agama Islam. Semua
golongan tanpa mengira kedudukan sosial berpeluang untuk mendapat dan
mempelajari ilmu pengetahuan. Kesannya muncullah golongan intelektual, terutama
alim ulama’ yang telah menghasilkan tulisan mereka, terutama karya-karya
berbentuk keagamaan yang disampaikan dalam bentuk persuratan yang dinamakan
sastera kitab.
Perkembangan
ilmu islam bermula di institut pendidikan islam di rumah, masjid, kuttab(pondok),
dan sekolah kemudian wujud ke seluruh nusantara. Struktur pengajian Islam dan
institusi-institusinya yang wujud di Nusantara sama dengan yang terdapat di
negeri-negeri Arab. Oleh itu, tempat-tempat pendidikan itu mengandungi dua
peringkat iaitu:
i.
Tempat Pendidikan Sebelum Penubuhan Sekolah
Sebelum penubuhan sekolah, ulama
memainkan peranan yang sempurna yang mempunyai kegiatan kemasyarakatan dan
menjalankan tanggungjawab kepada Allah s.w.t, Rasullullah dan agama Islam.
Sistem masjid sebagai markas dapat dilihat sebagai suatu bentuk pemusatan
kegiatan islam sebab masjid itulah yang selalu nya dibina di tempat-tempat yang
berhampiran dengan semua jenis kegiatan seperti di tepi sungai – seperti di
Melaka –kerana sungai menjadi jalan berhubungan, supaya setiap yang lalu akan
singgah menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah s.w.t apabila tiba masanya.
Berhampiran dengan masjid itu ada pasar dan pelabuhan. Untuk itu, cuba
perhatikan kedudukan masjid Kampung Hulu dan Kampung Keling serta Surau Kampung
Jawa di Melaka yang masih menampakkan sifat keislaman masyarakat Melayu. Di
antara pelajaran-pelajaran yang diajarkan di masjid ialah ilmu Tafsir, Hadith,
Fiqh, bahasa kesusteraan dan sebagainya. Pengajaran disampaikan adalah dalam
bentuk syarahan.
ii.
Tempat Pendidikan Selepas Penubuhan Sekolah
Mulai
penghujung abad ke-19, terutamanya selepas Perang Dunia I, sekolah pondok,
sekolah Arab dan madrasah muncul di merta tempat dengan matlamat memberi
kekuatan dan bimbingan kepada umat Islam supaya mereka tidak dihanyutkan oleh
arus pembaharuan yang bercorak barat. Pembinaan sekolah agama serta masjid atau
surau adalah usaha rakyat sendiri, kadang kala di bantu oleh para dermawan.
Sebagai contoh di Kota Bharu, selain menjadi pusat pentadbiran negeri Kelantan
ia merupakan pusat pengajian Islam. Di Kota Bharu, pengajaran agama melalui
sistem persekolahan hanya terdapat di Madrasah Muhammaddiah.
4.3
Kebudayaan
Pembentukan
kebudayaan Melayu yang melibatkan satu proses pembinaan, penerusan dan evolusi
yang mengambil masa panjang. Islam dalam kebudayaan Melayu merupakan satu usaha
menyelusuri proses Islamisasi yang berlaku di Alam Melayu sehingga akhirnya mengetengahkan
identiti dan jatidiri, dan pembinaan peradaban Melayu Islam di rantau ini.
4.4
Seni
Bina
Dalam
bidang kesenian pengaruh Islam pula dapat dilihat pada makam atau batu nisan,
masjid dan perhiasan-perhiasannya. Batu nisan merupakan karya seni Islam yang
pertama sekali masuk ke nusantara. Contohnya yang pernah ditemui ialah batu
nisan Syeikh Abdul al-Qadir Husain Alam bertarikh 903 masihi yang dijumpai di
Linggir Kedah. Pada permukaan makam-makam yang dijumpai ini terdapat tulisan
yang dipahat daripada ayat Al-Quran serta ajaran Islam yang menekankan tentang
hukum dan tasawuf. Misalnya pada prasasti di Pekan Pahang, tertulis ayat Al Quran
dengan gaya khat thuluth daripada surah Ali Imran ayat 185, surah Yunus ayat 62
serta nasihat bercorak kesufian. Dari segi corak batu nisan tersebut, di
samping menerima pengaruh asing ia juga memancarkan daya kreativiti penduduk
tempatan. Contohnya, batu nisan Maulana Malik Ibrahim yang dibawa dari Gunung
Jeram mempunyai bentuk seperti kepala terbalik yang menunjukkan adanya pengaruh
Parsi.
Selain
batu nisan, masjid merupakan karya seni Islam yang terpenting di nusantara. Pola-pola
yang menjadi perhiasan yang berasal dari zaman pra Islam seperti daun-daunan,
bunga teratai, bukit-bukit karang, permandangan dan garis-garis geometri dapat
dilihat pada setiap pembinaan masjid dan bangunan lain. Di samping itu,
terdapat juga perkembangan kaligrafi atau seni khat Islam. Ini dapat dilihat pada
makam, masjid dan sebagainya. Contohnya masjid terdapat ukiran khat pada mihrab,
mimbar, bingkai atau lengkung tiang dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan
bahawa seni ini juga dipengaruhi oleh unsur pra Islam yang telah lama seperti
dengan masyarakat tempatan.
Seni
muzik dan tarian-tarian dari Timur Tengah telah meresap masuk dan diterima
dengan baik oleh orang Melayu. Alat-alat seperti rebana dan kompang yang
merupakan alat muzik yang diharuskan oleh Islam telah menjadi alat-alat muzik
orang Melayu bagi mengiringi tarian rebana dan zapin. Tarian-tarian asli Melayu
juga diiringi oleh alat-alat muzik ini.
4.5
Sistem
Tulisan
Serentak
dengan penyebaran agama Islam dan bahasa Melayu ini, tersebar juga satu jenis
tulisan khusus orang Melayu yang dikenali sebagai tulisan jawi. Tulisan ini
yang merupakan adaptasi orang Melayu terhadap tulisan Arab-Parsi telah berjaya
menggantikan tulisan Sanskrit dan Palawa (Kawi) yang hanya diketahui oleh
golongan pendeta dan Brahmin. Ini membawa tulisan Jawi yang berperanan penting
dalam perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu. Oleh itu, manuskrip
lama banyak yang ditulis dalam huruf Jawi. Bahkan, karya-karya lama lebih
banyak dalam bentuk tulisan Jawi daripada yang telah dirumikan.
4.6
Politik,
Perundangan Dan Pentadbiran
Kedatangan
Islam telah mewujudkan satu sistem politik dan pentadbiran yang stabil di
Kepulauan Melayu dan ia juga turut membawa perubahan dari segi politik dan
pentadbiran. Kedatangan Islam telah membuka Kepulauan Melayu kepada
pedagang-pedagang asing dan mendedahkan orang Melayu kepada masyarakat
antarabangsa. Seperti kata Ahmad Ibrahim, melalui perdagangan ini telah
menjadikan orang Melayu sebahagian daripada warganegara dunia dan tidak lagi
sebagai hamba kepada seorang dewaraja yang tersepit dilembah-lembah sungai yang
sempit (1970:5). Konsep ‘devaraja’ yang
menjadi pegangan politk dan lambang daulat raja-raja tempatan telah digantikan
dengan konsep ‘khalifatullah fil-ardhi’.
Sejarah
perundangan di kepulauan Melayu seperti Malaysia dengan jelas membuktikan
bahawa undang-undang Islam telah mantap dan dilaksanakan dalam pemerintahan
Kerajaan Melayu sebelum kedatangan Inggeris. Terdapat bukti yang jelas
menunjukkan undang-undang telah dikanunkan dengan cara teratur bagi pemakaian
dan panduan kerajaan Melayu ketika itu seperti ‘Hukum Kanun Melaka’,
‘Undang-Undang Pahang’ dan ‘Undang-Undang Kedah’. Beberapa bahagian kanun
tersebut adalah petikan daripada hukum fiqah Mazhab Syafie.
Selepas
kedatangan Inggeris khususnya dengan penerimaannya Sistem Residen, secara
beransur-ansur dan sedikit demi sedikit prinsip undang-undang Inggeris
dimasukkan ke dalam sistem pentadbiran, perundangan dan kehakiman masyarakat
Melayu. Akhirnya beberapa undang-undang seperti Kanun Keseksaan,Enakmen
Keterangan dan Kanun Acara Jenayah telah diperundangkan di mana Undang-Undang
Islam dalam bidang berkenaan tidak lagi berkuasa.
Berikutan
dengan itu, perundangan Islam pun mula diperbuat dalam bentuk Enakmen dan
Ordinan bagi mendapatkan penguatkuasaan undang-undang. Keadaan ini meletakkan
kedudukan Islam sama dengan bahagian undang-undang lain yang perlu dikanunkan.
Cara ini telah diikuti hingga ke hari ini seperti mana yang diperjelaskan dalam
Perlembagaan Negara. Ini boleh didapati dalam Jadual Ke-Sembilan Senarai
Negeri.
Justeru,
daripada apa yang dinyatakan terbuktilah pengaruh Islam terlebih dahulu
bertapak di dalam masyarakat Melayu. Walaupun terdapat perubahan tetapi
perundangannya adalah mengikut kesesuaian zaman tersebut.
4.7
Sistem
Kekeluargaan
Kedatangan
Islam telah memantapkan lagi sistem kekeluargaan masyarakat Melayu. Dalam
Masyarakat Melayu, pembentukan jati diri dan peribadi Melayu yang baik,
beragama, berakhlak dan berbudi menjadi keutamaan. Keluarga sebagai agen
sosialisasi dan menjadi utama dalam masyarakat menjalankan tanggungjawab ini
dan turnt dibantu untuk komuniti yang melaksanakan kawalan serta tekanan
sosial. Tujuan utamanya ialah mendidik dan mengajar supaya seseorang anak itu
akan menjadi anggota masyarakat yang baik.
Sistem
kekeluargaan masyarakat Melayu berteraskan Islam dan adat. Sejak lahir lagi
seseorang itu dididik berteraskan Islam dan adat sehinggalah mereka dewasa.
Contohnya sebaik sahaja seseorang itu dilahirkan, bapa atau datuk akan
mengazankan bayi lelaki, atau mengkamatkan bayi perempuan. Tujuannya ialah
untuk memperdengarkan buat pertama kalinya kepada bayi itu seruan azan dan
kalimah syahadah dan meniupkan roh dan semangat Islam kepada bayi tersebut.
Proses
sosialisasi pada tahap kanak-kanak juga memperlihatkan penerapan unsur-unsur
Islam yang berterusan. Seseorang kanak-kanak sejak kedl lagi diajar
konsep-konsep dosa, pahala, haram dan sebagainya. Setelah meningkat umur lima
tahun ke atas kanak-kanak juga'diajar bersembahyang, berpuasa dan lain-lain.
Selain itu mereka juga diajar supaya hormat-menghormati, bertolak ansur dan
mengamalkan nilai-nilai murni dalam menjalani kehidupan seharian.
Kedatangan
Islam juga telah menyusun institusi kekeluargaan masyarakat Melayu dengan lebih
teratur. Islam telah menentukan garis panduan dalam membina keluarga berasaskan
ajaran Islam. Contohnya dalam pemilihan jodoh, tanggungjawab suami,
tanggungjawab isteri dan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa. Selain itu
pelbagai adat dan budaya Islam perlu dihayati oleh ibu bapa dalam mendidik
anak-anak seperti meletakkan nama yang baik kepada anak mereka, mengadakan
akikah, menyusukan anak selringga berumur dua tahun, mendidik anak-anak supaya
menjadi manusia yang beriman, bertaqwa, berakhlak mulia dan menghormati kedua
ibu bapa mereka.
4.8
Kesusteraan
Sebelum
kedatangan unsur dari luar, masyarakat pribumi sudah pun mempunyai
kesusasteraan yang tersendiri. Sebelum masyarakat tempatan tahu menulis,
melalui cara pertuturan sajalah mereka menyampaikan perasaan atau curahan hati
masing-masing. Ini dikenali sebagai sastera lisan. Dari percakapan yang pendek
membawa kepada percakapan yang panjang hingga menggambarkan suatu cerita.
Dengan ini timbullah jenis-jenis kesusasteraan mengikut kaedah namanya yang
sesuai dengan zaman itu seperti bidalan, peribahasa, perumpamaan dan
perbilangan. Selain itu pantun juga merupakan sastera yang tertua terdapat pada
masyarakat Melayu. Hasil sastera yang yang dihasilkan ini adalah melalui
pengalaman dan pemerhatian masyarakat terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku
dalam kehidupan sehari-hari. Kedatangan unsur luar telah memperkayakan lagi
unsur pribumi ini.
Setelah
kedatangan pengaruh India, kita dapat lihat bagaimana unsur tempatan telah
diserapi oleh pengaruh ini. Pengaruh India yang paling penting ialah penerimaan
dua buah epik Ramayana, lahirnya karya-karya prosa dan juga puisi seperti
hikayat Seri Rama, Rama Keling dan sebagainya. Walaupun terdapat pengaruh ini,
tetapi jika ditinjau dengan lebih mendalam ternyata warisan pribumi masih
menebal. Menurut Prof. Mohd Taib Osman, karya-karya sastera daripada warisan
Hindu itu masih dipercayai segala isi ceritanya, meskipun orang Melayu sudah
menganut agama Islam selama beratus-ratus tahun. Antara unsur kepercayaan Hindu
daripada epik tersebut yang mempengaruhi karya sastera yang lain ialah cerita
dewa dewi yang bersifat manusia dan tuhan, kejadian luar biasa seperti
penjelmaan dalam pelbagai bentuk serta senjata ghaib dan sakti. Setelah
kedatangan Islam di Nusantara, proses penanaman aqidah Islam melalui cerita
atau kisah-kisah melalui 2 cara iaitu dengan mengubahsuai cerita yang sedia
tersebar dengan unsur Islam dan mengetengahkan cerita-cerita baru yang berasal
dari tradisi Islam seperti kisah-kisah tauladan di zaman nabi-nabi serta kisah
nabi.
Kesusasteraan
dimulakan dengan cara lisan dan diikuti dengan tulisan Arab(jawi), dan
bermulalah penulisan dan penyalinan kitab-kitab yang berkaitan dengan agama.
Contohnya seperti kitab-kitab Risalat Dua Kalimah Syahadah, peraturan dan
rukun-rukun sembahyang, peraturan puasa dan sebagainya. Kemudian dikembangkan
pula dengan doa-doa dan kisah-kisah nabi, kitab feqah, tafsir Al-Quran, hikayat
para nabi, cerita pahlawan Islam dan lain-lain lagi. Kedatangan Islam
menyebabkan kesusasteraan masyarakat pribumi makin berkembang dan berdiri di
landasan yang benar. Kesusasteraan masyarakat tempatan tidak tidak hilang malah
kekal sehingga ke hari ini. Contohnya sehingga ke hari ini khazanah yang begitu
bernilai seperti pantun masih lagi kekal dan mutunya masih tidak dapat
ditandingi oleh ciptaan generasi masa kini.
Kedatangan Islam ke Alam Melayu
sememangnya membawa banyak perubahan dan pengharapan baru dalam keagungan
Tamadun Melayu. Proses penyerapan Islam ini berlaku secara
berperingkat-peringkat di kalangan masyarakat Melayu yang bermula daripada
golongan daripada golongan istana, pembesar sehinggalah kepada rakyat biasa.
Proses Islamisasi ini menjadikan masyarakat Melayu akhirnya dapat menerima
ajaran Islam dengan baik. Ini adalah kerana keistimewaan ajaran Islam itu
sendiri yang sederhana dan tiada paksaan.
Kedatangan Islam bukan sahaja telah mengubah pegangan hidup masyarakat Melayu,
malah telah membentuk cara hidup baru dalam amalan seharian masyarakat. Malahan
amalanamalan Islam yang berunsur tahyul dan khurafat telah ditinggalkan secara
beransuransur oleh masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu juga telah berubah daripada
masyarakat yang buta huruf kepada masyarakat yang mengamalkan tradisi keilmuan.
Penyebaran agama Islam dijadikan sebagai
teras dalam pembinaan tradisi budaya Melayu. Orang-orang Melayu yang menganut
agama Islam menyedari dan memahami nilai-nilai yang telah ditetapkan oleh Islam
dan berusaha menyesuaikan warisan tradisi budaya dan kehendak-kehendak Islam.
Mereka menekankan usaha memupuk nilai-nilai Islam sebagaimana yang dikehendaki
dari satu generasi kepada generasi seterusnya. Malah, institusi-institusi
sosial dan agama dalam masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha memupuk
dan mempertahankan nilai-nilai sosial dan agama yang mereka bina.
Perkembangannya
Hingga Abad ke-19.Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Ahmad Ibrahim, “Kedudukan
Hukum Islam dalam Masyarakat Melayu”, dlm. Islam dan
Kebudayaan
Melayu, Kuala Lumpur:
Kem. Kebudayaan, Belia dan Sukan, 1977.
3.
Ahmad
Jelani Halimi (2008).Sejarah dan Tamadun
Bangsa Melayu.Kuala
Lumpur:Unipress Printer sdn. Bhd.
4.
A.Aziz
Deraman (2000).Tamadun Melayu dan
Pembinaan Bangsa Malaysia:Edisi Baru.
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Hashim Hj. Musa (2004).Pemerkasaan
Tamadun Melayu Malaysia:Menghadapai
Globalisasi
Barat.Kuala
Lumpur:Penerbit Universiti Malaya.
6.
Institut
Kefahaman Islam Malaysia (2005).Malaysia
Sebagai Sebuah Negara Islam.Kuala
Lumpur:CentRePro Sdn. Bhd.
7. Ismail Hussein, Aziz Deraman, Abd. Rahman Al-Ahmadi
(1989).Tamadun Melayu:Jilid
Dua.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
8.
Mohd.Koharuddin
Mohd. Balwi (2005). Peradaban Melayu.Kuala
Lumpur:UTM Press.
9.
Zulkiflee
Haron, Ramli Awang, Mohd Nasir Ripin, Siti Norlina Muhamad Farawahida
Mohd Yusof (2011). Tamadun Islam & Tamadun Asia. Kuala Lumpur: UTM Press.